TENTANG MUHAMMAD AZLAN AL AMIN

Oleh : Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Kita tidak akan mampu mengawal arah tiupan angin tetapi kita mampu mengawal kemudi pelayaran kita. Arah angin itu umpama takdir, manakala kemudi pelayaran itu ialah tadbir.

Orang yang berjaya bukan sahaja mampu berdamai dengan takdir, namun dia mampu mampu mentadbir pelayaran hidupnya. Dan sudah menjadi ‘Sunnatullah’, sebaik-baik takdir akan Allah tentukan kepada mereka yang melaksanakan sebaik-baik tadbir.

Hakikat inilah yang berlaku dalam kehidupan Muhamad Azlan Al Amin. Dia telah mengemudi pelayaran hidupnya seiring takdir yang menimpanya. Beliau tidak terus menerus mengutuk kegelapan hidup, tetapi dengan ketabahan dia berusaha untuk mencari cahaya.

Dilahirkan dari lantai kemiskinan dengan bilangan adik-beradik yang begitu ramai (16 orang yang masih ada dari jumlah keseluruhannya 21 orang ). Keluarganya pernah ‘dinobatkan’ sebagai keluarga termiskin di daerah Besut, Kelantan. Rumah keluarga itu amat daif, bocor dek hujan dan sering juga kegelapan apabila bekalan elektrik dipotong kerana tidak mampu membayar bil.

Namun semua itu tidak menghalang kedua ibu-bapanya untuk terus berusaha untuk menyara hidup mereka sekeluarga  secara ala kadar. Kemiskinan itu juga tidak menghalang ibunya untuk terus menjaga solat dan Al Quran, dan itulah pesan yang sering dititipkan buat anak-naknya, “jangan tinggalkan solat. Jangan tinggalkan Al Quran.” Itulah pegangan mereka sekeluarga ketika itu  – biar miskin harta, jangan miskin jiwa.

Sebagai anak miskin, Azlan Al Amin terpaksa menanggung penghinaan dan ejekan daripada masyarakat yang masih terbelenggu dengan prinsip hidup yang materialistik dan individualistik.

Dia dihina sejak belajar di peringkat Tadika. Penghinaan dan ejekan itu bersambung malah, ke sekolah rendah, menengah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Dengan baju dan seluar lusuh dan kasut yang koyak, dia menjadi bahan ketawa dan ejekan ole pelajar-pelajar yang lain.

  Pernah dia ‘memberontak’, bangun melawan penghinaan, namun suara miskin, selalunya suara terpencil. Dia menerima hukuman dan pernah digantung sekolah. Memang begitulah adat dunia, kuasa dan harta sinonim dengan kebenaran.

Apakah dengan segala penghinaan itu Muhamad Azlan menyerah dan pasrah?Tidak. Ya, beliau berdamai dengan takdir – menerima realiti ujian yang diterimanya. Dia hanya hamba Allah, bukan tuan apalagi Tuhan dalam kehidupan ini.

Namun,  beliau tidak henti-henti berusaha untuk memperbaiki keadaan diri keluarganya. Baginya, pasrah bukan bererti menyerah. Akur bukan bermakna mundur.

Lalu sejak di usia muda lagi beliau telah melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup keluarganya. Ketika rakan seusianya menghabiskan masa untuk bermain dan berhibur, beliau sebaliknya terjun ke lapangan untuk membaiki ekonomi keluarga.

Pernah menjadi seorang pemungut kayu dan herba meredah hutan, pembancuh minuman di tengah bandar kosmopolitan, kelindan lori yang kembara di lebuh raya, pekebun jagung, pemungut baja tahi kambing  sehinggalah kepada seorang pengutip sampah. Semua kerja yang punya unsur3 D – ‘dirty’ (kotor), ‘difficult’ (sukar), ‘dangerous’ (bahaya) – sudah ditempuhnya.

Sayangnya, apa yang beliau dapat hanyalah kegagalan demi kegagalan. Rugi, menyesal, putus asa? Tidak. Beliau mendapat suatu yang sangat berharga,yang tidak terbanding nilainya.

Beliau menemui ‘guru’ kehidupan yang paling unggul. Guru itu ialah pengalaman.       Pengalaman tetap mengajarnya walaupun isinya kepahitan. Bahkan Muhammad Azlan sendiri sering mengungkapkan, “kepahitan mengajar kita lebih banyak dan lebih baik daripada kemanisan.” Itulah yang dialami oleh anak muda ini hasil latihan amalinya di universiti kehidupan.

Dia jatuh berkali-kali, tetapi bangun dan terus bangun berkali-kali. Dia sesungguhnya sangat ‘degil’ dengan cita-cita dan impiannya.

Penghinaan manusia di sekeliling, kebun yang ranap dipukul ribut, insiden kemalangan yang hampir meragut nyawanya, ditipu oleh insan berpangkat, dan banyak lagi deretan ‘tribulasi’ tidak menyebabkan dia berhenti.

Ya, sudah banyak kali ‘kalah’ tetapi dia tidak pernah mengalah. Setiap kali jatuh, dia akan bangun dan melonjak lebih tinggi.       

 

Apakah rahsia kejayaan pemuda berusia 33 tahun yang berjanggut lebat ini? Degil. Dia degil dengan cita-cita dan kemahuannya. Dia angkuh, angkuh di depan cabaran dan rintangannya. Apabila dia jatuh, dia belajar, dan memulakan kembali dengan lebih waja dan bijaksana.

Dan akhirnya… tibalah detik yang menentukan itu. Pada satu malam di bulan Ramadan, dengan berbekal wang RM 1.30 sen, dia tekad keluar dari rumah dengan kata peneguhan kepada ibunya bahawa dia tidak akan kembali selagi belum berjaya! Semua pintu di bumi seakan-akan sudah tertutup. Hanya pintu ke langit sahaja yang lapang terluang… lalu dia bermunajat, menangis dan memohon penuh harapan kepada Allah.

Rupa-rupanya itu bukan pengakhiran, bahkan satu permulaan kepada jalan hidupnya yang lebih indah. Mengaku lemah di hadapan Allah itulah yang menjadikan dirinya gagah. Cukup bagi Allah hanya dengan berkata ‘jadi’ maka jadilah. Dengan bantuan bekas guru sekolahnya dia mendapat satu peluang. Dengan peluang itulah dia melangkah. Menjual hartanah bukan bidangnya.

Tetapi dia berani menghadapi ketidakpastian itu dengan berbekalkan keyakinan bahawa Allah tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya. Bermula pada detik itulah berlakunya satu perubahan besar dalam hidupnya…daripada seorang pemungut sambah menjadi jutawan hartanah!     

Muhammad Azlan mencari kekuatan dengan membina keakraban dengan Allah. Dia yakin doa dimakbulkan semasa  berusaha bukan semasa meminta.

Insya-Allah, hadiah Allah acap kali dibalut oleh penderitaan dan kepedihan. Jika sabar, membukanya helai demi helai, maka akan terserlah jualah anugerah yang tidak ternilai. Daripada ribuan, menjadi ratusan dan akhirnya jutaan. Begitulah caranya Allah ‘membayar’ atas segala kesabarannya musim lalu. Apabila hambanya tidak memberi alasan, maka Allah memberi keputusan.

Harta dan wangnya bertambah dari semasa ke semasa.  Dan kini dia sudah dapat menikmati kesyukuran paling indah di puncak setelah puas menderita oleh kesukaran paling pedih ketika mendaki dari bawah.

Kini dia telah menjadi seorang jutawan. Apakah hatinya telah puas? Apakah semuanya sudah memadai dan dia boleh hidup senang lenang dengan segala yang telah dimiliki? Jawabnya, ya, jika dia seorang pemuda biasa. Tetapi dia pemuda pejuang. Hidup bukan untuk diri tetapi hidup untuk memberi.

Lalu dengan tenaga, fikiran, azam, cita-cita dan harta yang ada beliau tekad dan nekad menubuhkan sebuah koperasi – Koperasi Azlan Al Amin Group Holdings Terengganu Berhad, sebagai wadah yang lebih besar dan ampuh untuk memberi kebaikan dan kebajikan kepada masyarakat.

Dia yang dulunya bergerak laju secara bersendirian, kini ingin bergerak lebih jauh secara berpasukan. Koperasinya, akan menjadi gelanggang yang lebih luas, meriah dan gemilang untuk menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara. Insya-Allah.   

Siapa di sebalik kejayaan pemuda ini? Tidak lain seorang wanita! Wanita itu ialah ibunya. Ibu yang bukan sahaja memberi susu dan mengalirkan keringat untuk membesarkan fizikalnya, tetapi membekalkan doa dan nasihat untuk pertumbuhan kerohaniannya. Solat, Al Quran dan sedekah – itulah tiga perkara yang sentiasa dipesankan oleh si ibu buat bekalan anaknya dalam mengejar cita-cita dan impian. Justeru, tidak hairan jika Muhammad Azlan mampu membaca Al Quran dengan tajwid dan alunan suara yang baik.

Selain ibu, dia juga sentiasa tekun menagih pimpinan bapa dan guru-guru kerohanian,para murabbi, orang-orang berilmu dalam bidang agama dan bidang-bidang profesional yang diceburinya.

Muhammad Azlan adalah seorang yang ‘street smart’ bukan ‘book smart’. Maksudnya, dia belajar secara tidak formal, menimba ilmu melalui proses alami. Satu ilmu yang diterima, satu itu pulalah diamalkannya, dan selepas itu dia terus mencari lagi… Benarlah seperti yang sering diungkapkan oleh orang yang bijaksana, rasa tidak berilmu ialah rasa orang yang berilmu.   

 

Dilihat secara luaran, dia persis seorang lelaki yang garang dan keras… tetapi bagi yang mengenalinya dari dekat,dia adalah seorang yang punya rasa empati yang mendalam, mudah menangis dan  berjiwa sukarelawan yang tinggi.

Muhammad Azlan Al Amin, agak berbeza dan berada di kelasnya yang tersendiri. Itulah yang saya kenali sepanjang perkenalan singkat dengannya. Mungkin kerana dia telah dihenyak oleh ujian-ujian berat sejak kecil, maka dirinya seakan ‘mangli’ – ‘imune’, dengan kesusahan.

Pembacaan saya tentang watak dan karektor melalui buku-buku  yang ditulis oleh para profesional, ditambah sedikit sebanyak pengalaman dalam pergaulan sepanjang usia (hampir 60 tahun), saya dapati wataknya adalah kombinasi tiga watak – Powerfull Choleric (pemimpin semulajadi), Perfect Melancholy (pemikir yang tajam) dan Peacefull Palegmatic (Penyair yang kuat perasaan) – mengikut susunan keutamaan.

Dia cepat dan cekal dalam tindakan. Pantas dan tangkas. Berani, tidak takut gagal dan sanggup menangung beban yang berat kerana cita-cita dan impiannya. Namun, pada ketika-ketika tertentu dia boleh ‘pause’ seketika, merenung dan menganalisa dengan fikiran yang tajam. Tetapi aneh… dia boleh menangis tiba-tiba bila perasaannya tersentuh.

Pejuang yang penuh perasaan atau hanya ‘perasan’? Sanggup berperang tetapi berani berdamai? Dia unik!

Paling  banyak menyedarkan saya ialah sikapnya yang tangkas bertindak dan merebut peluang. Saya selalu nampak masalah dan menganalisanya, sebaliknya dia nampak peluang dan memanfaatkannya. Ketika saya selalu terkurung dalam belenggu ‘think never do’… dia sebaliknya bingkas, tangkas dan mula bersilat walaupun di gelanggang yang separuh terbuka.

Dia punya visi dan misi yang besar dalam hidupnya,iaitu ingin terus berjaya dengan cemerlang dan turut melahirkan insan insan lain yang berjaya.Daripada visi itu, mulalah dia ‘kesana ke sini’ ke Selatan, Timur, Utara untuk merealisasikan impiannya.

Dia boleh berdiam diri, senang dengan kekayaan yang sedia ada. Tetapi dia terus berjuang seakan tidak kenal lelah kerana impiannya membina masyarakat yang penuh ketenangan tanpa menggadaikan kesenangan.

Dia ingin membina masyarakat Islam yang punya kebaikan bersepadu – kuantiti harta dan kualiti jiwa, pembangunan spiritual dan fizikal, kekayaan jiwa dan kejayaan harta –     

masyarakat yang menjadi tuan di dunia dan tuan di akhirat. Bukan lagi umat yang merempat di tanah tumpah darahnya sendiri!

Bila dia merancang, membuat keputusan dan bekerja, dia jadi sekeras waja. Tetapi bila merenung, bermuhasabah dan bersedih, hatinya jadi selembut sutera. Mudah-mudahan dia terus dipimpin oleh hidayah Allah dalam mengimbangi dua sisi berbeza dalam satu jiwa pada dirinya yang unik itu.

Satu ketika dahulu… Apabila seorang gadis di Utara Tanah Air tersilap langkah dan bakal menerima hukuman sekiranya di dapati bersalah oleh mahkamah atas ketelanjuran tulisan dalam muka bukunya,  tanpa bertangguh dia rela meredah sempadan negeri untuk menghulur bantuan guaman agar wanita muda dibela demi memberinya peluang kedua untuknya membetulkan kesalahan. Itu belum dikira lagi orang-orang miskin, pelajar-pelajar tahfiz dan para pelajar sekolah yang telah dibantunya sekian lama.

Kita perlu intim dengan manusia untuk mengetahui masalah mereka dan akrab dengan Allah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah itu.

Sesungguhnya, Muhammad Azlan, sedang berusaha merealisasikan prinsip itu dalam agenda perjuangannya yang terkini.

  Tangan yang dulunya berada di bawah, kini sudah beralih ke atas. Mudah-mudahan biarlah hanya tangannya yang di atas tetapi hatinya tetap di bawah (tawaduk)… justeru ummah sangat merindui kehadiran jutawan yang tawaduk – seorang ‘bilionare’ yang berjiwa sufi!

Dan kita doakan mudah-mudahan Muhammad Azlan Al Amin mampu mengubat kerinduan ummah ini. Insya-Allah, Amin.

KENAPA PERLU DAPATKAN BUKU INI?

Jika ada satu buku sahaja yang perlu dibaca pada tahun ini, maka inilah bukunya. Kisah benar penuh inspirasi. Perjuangan untuk keluar dari belenggu kegagalan. Buku ini adalah pemudahcara & panduan yang praktikal untuk semua yang mengimpikan kejayaan.

5/5

Sebarang Pertanyaan Lanjut Sila Hubungi :